Saturday, February 17, 2018

'Jangan takut Syiah, Wahabi lebih bahaya'


Kerajaan Malaysia tidak perlu takut dengan fahaman Syiah, sebaliknya yang perlu digeruni adalah aliran Wahabi yang membawa kepada kekerasan, kata seorang wartawan veteran Indonesia.
Ahmad Taufik Jufri mendakwa Wahabi juga sering dikaitkan dengan kelompok ganas seperti IS dan ia perlu dikekang kerana hanya merosakkan imej Islam.
“Sebetulnya pemerintah Malaysia tidak perlu takut dengan Syiah. Yang harus ditakutkan adalah golongan yang bawa kekerasan seperti wahabi.
“Kelompok Wahabi ini yang memecah belahkan Syiah dengan Islam yang ada di sini,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Malaysia yang sering mempelawa kumpulan Habib Syech Abdul Qodir Assegaf yang terkenal dengan qasidah ‘Ya Hanana’ dalam program selawat perdana di negara ini.
Di Indonesia keturunan Habib sering dikaitkan dengan penyebaran fahaman Syiah.
“Mereka (Syeikh) pakai jubah, tak bawa kekerasan... Yang bawa kedamaian seperti Habib Syeikh boleh diikuti malah mereka dicintai,” katanya sambil menambah golongan Syiah adalah kumpulan pertama mengembangkan ajaran Islam di Indonesia.
“(Apa yang dibawa oleh Syeih Habib) perlu diteruskan kerana bawa kebaikan, ajak zikir bukan kekerasan. Berbeza dengan IS. Banyak pengikut IS yang bawa kekerasan.
"Islam yang bawa kekerasan jangan diberi peluang oleh pemerintah,” tegasnya yang juga aktivis media dari Aliansi Jurnalis Independen (AJI).
Bahaya Arabisasi
Ahmad Taufik turut mengingatkan umat Islam di negara ini mengenai bahaya Arabisasi dan menyeru supaya tidak terikut-ikut dengan budaya tersebut.

Katanya, kaum Melayu perlu berbangga dengan budayanya sendiri tanpa mengikut pengaruh luar kerana dibimbangi ‘arabisasi’ itu akan menjerumus kepada aliran wahabi.
“Ini berbahaya, Islam bukan arab. Melayu perlu ada ciri khas sendiri, Islam Melayu berbeza dengan Islam arab. Yang terjadi sekarang nampak seperti itu. Kalau di Indonesia ada tapi yang melawannya lebih banyak lawan arabisasi.
“Arabisasi dalam hal ini adalah wahabisasi, kalau kita lihat (arabisasi) bawa kekerasan dan itulah yang harus dilawan. Bukan soal Arab tapi Wahabi yang bawa kepada kearaban,” dakwanya.

0 comments:

Post a Comment